Tuesday, December 2, 2008

ISA Undang-Undang Komprehensif Yang Zalim

Tanpa undang-undang opresif lain seperti OSA, AUKU, Akta Polis, Enekmen Sekatan Kawasan, Akta Kesatuan Sekerja, Akta Hasutan, Akta Pertubuhan, Akta Percetakan dan Mesin Cetak, Akta Dadah Merbahaya (Langkah-langkah Pencegahan 1985), Ordinan Darurat dan lain-lain, hanya dengan ISA sudah cukup untuk menjamin survival kerajaan Umno-BN.

ISA terdiri daripada empat bahagian, 12 bab dan 85 seksyen.

Terdapat 2 seksyen dalam Bahagian I, 45 seksyen dalam Bahagian II, 25 seksyen dalam Bahagian III dan 14 seksyen dalam Bahagian IV.

Seksyen-seksyen ini memberikan kuasa yang luas kepada Menteri Dalam Negeri dan pihak polis untuk membuat penangkapan dan penahanan sewenang-wenangnya.

Seksyen-seksyen ini juga membolehkan menteri dan polis bertindak yang mana sebelum ini hanya boleh dilakukan dalam keadaan darurat.

Seksyen-seksyen ini diambil daripada Ordinan Darurat 1948-1960 dahulu!

Darurat berakhir pada 30 Julai 1960. ISA dikuatkuasakan pada 1 Ogos 1960.

Ini bermakna dalam sejarah, Umno-Perikatan dan Umno-BN hanya berjalan selama 24 jam tanpa tongkat.

Tongkat tersebut adalah dalam bentuk undang-undang menahan dan memenjarakan pencabar-pencabarnya secara tanpa bicara.

Untuk mengukuhkan kuasa dan keputusan menteri dalam seksyen 8, seksyen 16 memperuntukkan bahawa menteri dan yang berkaitan dengannya tidak boleh diminta mendedahkan bukti atau maklumat bagi mempertahankan keputusannya membuat sesuatu penahanan.

Seksyen 28 pula kini digunakan untuk menyekat penyebaran maklumat alternatif atas dakwaan menyebar khabar angin atau menyebarkan laporan yang dianggap tidak benar oleh kerajaan Umno-BN.

Seksyen 30 membolehkan pihak polis menggeledah dan merampas bahan-bahan dan dokumen-dokumen yang disyaki menyalahi peruntukan-peruntukan keselamatan dalam negara.

Mengatasi kuasa dalam peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan, 1966, peruntukan seksyen 41A ISA membolehkan menteri menghalang perlantikan mana-mana individu daripada memegang sebarang jawatan dalam sesuatu pertubuhan.

Seksyen 41B ISA pula memberi kuasa kepada menteri membuat arahan setiap satunya tidak melebihi 6 bulan bagi menutup sekolah atau mana-mana institusi pendidikan yang menjalankan kegiatan yang dianggap sebagai subversif oleh menteri.

Di bawah peruntukan-peruntukan khas berkenaan dengan kawasan-kawasan keselamatan untuk peruntukan seksyen 57, seksyen 53 memberi kuasa kepada menteri untuk mengambil alih dan merampas tanah dan bangunan di kawasan-kawasan tertentu.

Seksyen 54 pula memberi kuasa kepada OCPD polis di kawasan berkenaan untuk menghapuskan ataupun mengeluarkan arahan untuk menghapuskan mana-mana bangunan yang dianggap menyalahi peruntukan-peruntukan bagi kawasan-kawasan keselamatan ini.

Seksyen 56 pula memberi kuasa kepada mana-mana polis atau mana-mana anggota keselamatan berpangkat koperal ke atas untuk merampas beras atau sebarang bahan makanan yang menyalahi mana-mana peruntukan dalam kawasan keselamatan ini.

Seksyen 73 memberi kuasa yang luas kepada polis untuk membuat penangkapan terhadap individu yang dipercayai boleh atau telah memudaratkan keselamatan negara.

Peruntukan seksyen 74 pula membolehkan pihak polis menggunakan senjata yang boleh membawa maut dalam menguatkuasakan penangkapan di bawah seksyen 73(1) dan (2).

Penahanan Tanpa Perbicaraan

ImageSeksyen 8 membolehkan Menteri Dalam Negeri mengeluarkan satu perintah tahanan selama dua tahun terhadap mana-mana individu yang penahanannya dianggap perlu oleh menteri bagi tujuan mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Kuasa menteri dalam membuat keputusan tersebut adalah bersifat subjektif dan sehingga ini mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk menilai secara objektif kuasa menteri yang dibuat di bawah peruntukan seksyen 8.

Kuasa menteri di bawah Seksyen 8 adalah quddus dan mutlaq!

Kuasa menteri untuk diminta mengemukakan bukti atau memberi sebarang keterangan di mahkamah dilindungi oleh seksyen 16.

Jika menteri merasakan individu itu tidak perlu dikenakan perintah tahanan di tempat yang ditetapkan, maka menteri boleh mengenakan sekatan-sekatan serta syarat-syarat tertentu bagi mengawal aktiviti dan pergerakannya.

Syarat-syarat serta sekatan seperti ini juga setiap satunya dikeluarkan bagi tempoh dua tahun.

Ketika menjalani tahanan atau sekatan dalam tempoh pertama dua tahun ini, menteri boleh mengeluarkan arahan bagi penggantungan perintah tahanan.

Jika individu tadi sedang menjalani perintah tahanan seperti dalam seksyen 8(1) di tempat yang diperuntukkan dalam seksyen 8(3) dan (4), maka penggantungan tersebut boleh dipindahkan kepada sekatan-sekatan bersyarat seperti dalam seksyen 8(5).

Penggantungan ini pula boleh diteruskan sehingga bila-bila.

Selepas tamat tempoh perintah tahanan dua tahun yang pertama, menteri boleh di atas sebab-sebab yang sama, atau lain atau sebahagiannya sama dengan sebab-sebab individu tersebut ditahan, mengeluarkan satu lagi perintah tahanan tidak melebihi dari dua tahun.

Menteri juga diberi kuasa oleh peruntukan yang sama untuk menyambung sekatan kawasan kepada individu yang dikenakan sekatan bagi satu tempoh tidak melebihi dari dua tahun.

No comments: